31 August 2014

Mamak Cupcake Sarat Adegan Lawak Luccah?

Filem komedi santai, 'Mamak Cupcake' karya pengarah muda MJ Woo kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos. Filem terbitan Grand Brilliance ini mengetengahkan sesuatu yang agak unik apabila memilih kek cawan sebagai subjek utama.

'Mamak Cupcake' berkisar tentang seorang anak jati Pulau Pinang berketurunan Mamak iaitu Mohamad Jamaludin atau lebih mesra dengan sapaan MJ (Shaheizy Sam) yang terpaksa berdepan dengan konflik sama ada memilih untuk mencapai impiannya iaitu bidang kek cawan atau mewarisi perniagaan tradisi kedai mamak milik bapanya.
MJ hampir melupakan impiannya, namun semangatnya kembali berkobar-kobar setelah bertemu dengan seorang gadis bernama Juliana (Siti Saleha). Biarpun jalan ceritanya mudah diduga tetapi filem ini menyampaikan mesej-mesej positif seperti jangan mudah berputus asa serta kejayaan pasti akan menjadi milik seseorang jika dia gigih berusaha bagi mencapai impian biarpun diduga dengan pelbagai cabaran.

Keturunan mamak begitu sinonim dengan nasi kandar, teh tarik dan roti canai yang menjadi warisan turun temurun mereka. Konflik MJ bermula apabila dia tidak ingin mengecewakan bapanya, namun hatinya lebih berminat untuk menjual manisan seperti kek cawan.
Selain Saleha dan Sam sebagai teraju utama, filem ini turut membariskan Maria Farida, Azad Jazmin, Accapan, Faizal Ismail, Natasha Hudson dan ramai lagi. Apa yang boleh GUA katakan, filem tulisan M. Zulkifli ini pastinya mengundang tawa penonton kerana sarat adegan-adegan lawak yang dijayakan oleh barisan pelawak masa kini.

Berjayakah seorang anak muda berketurunan mamak meneruskan impiannya untuk membuka perniagaan dalam bidang kek cawan? Jangan ketinggalan menyaksikan gandingan mantap antara Siti Saleha dan Shaheizy Sam dalam 'Mamak Cupcake'.
Filem : Mamak Cupcake

Dibintangi oleh : Shaheizy Sam, Siti Saleha, Maria Farida, Azad Jazmin, Accapan, Faizal Ismail, Natasha Hudson

Rating : 3/5

0 comments:

Post a Comment