17 November 2014

KISAH TUKANG KASUT (OKU) DI KAKI LIMA YANG MEMBUAT ANDA SEBAK MENGALIR AIR MATA..



Klinik kasut. Itulah gelaran yang diberikan kepada tukang kasut kini. Mereka juga doktor. Doktor kasut.


Jom hayati kisah seorang tukang kasut OKU yang pasti membuat anda sebak sampai mengalir air mata di bawah.




Dalam perjalanan balik dari mall.


Aku menyelusuri lorong belakang mall. Hajatnya nak baiki kasut. Dah tercabut tapak.


Nampak seorang pakcik tua di kaki lima. Orang kurang upaya. Manusia normal seperti kita, cuma tanpa sepasang kaki.


Beliau tengah mengilat kasut seorang lelaki bersut pejabat. Lelaki itu berdiri. Kakinya pada papan kasut yang disediakan. Pakcik tua tekun menjalankan kerjanya.


Kami menghampiri pakcik tua tersebut. Tunggu giliran.


"Dah siap ke? Lambat betul la kiwi pun." Lelaki tu mengeluh-ngeluh.


"Dah siap, tuan." Pakcik tua memberhentikan gosokan. Lap kali terakhir kasut lelaki yang sedang berdiri tersebut.


"Tak nampak berkilat pun. Berapa?" Lelaki itu tanya harga.


"RM3.00." Pakcik itu senyum jawab.


"Gila mahal! Dahlah tak berkilat langsung!" Sambil dia mengeluarkan 3 keping note biru. Campak ke papan kasut. Baru saja pakcik mahu mengutipnya, diletakkan kembali kasut atas tangan pakcik tersebut. Pijak tangan pakcik!


Pakcik mengaduh perlahan. Nampak berkerut mukanya yang berkedut seribu.


"Kalau buat kerja tak elok, ni lah makan dia!" Lelaki tu ketawa kemudian mengalihkan kasutnya. Berlalu dari situ.


Aku dan kawan panas hati melihat kejadian itu. Lantas aku berteriak,


"Woi tua kutuk! Kau tak ada hati perut ke pijak tangan orang tua?"


Lelaki itu berpaling. Kemudian, ketawa. Seraya angkat jari tengahnya pada kami.


"Pergi mampus kau orang semua."


Dia tak layan. Terus berlalu. Aku cuba kejar. Nak terajang beliau. Tapi segera dihalang pakcik tua.


"Sabar, nak. Tak mengapa. Tak mengapa." Pakcik tua senyum sambil pegang sebelah kakiku.


Bagaimana pakcik boleh bersabar sedangkan kami dah hilang sabar?


Kami duduk bersila di sebelah pakcik di kaki lima.


"Allah dah banyak kali sebut Allah bersama-sama orang yang sabar dalam al-Quran. Biarlah Allah yang tunjuk amarah-Nya. Amarah pakcik, amarah kamu berdua tidak sebesar amarah Allah. Murka Allah itu lebih ganas. Lebih dahsyat." Pakcik senyum lagi.


"Tapi lelaki tu dah melampau!" Aku tak puas hati. Kawanku diam gigit bibir. Tahan marah agaknya.


"Jangan marah. Ingat. Ni cuma kesakitan kecil dibandingkan dengan umat Islam di Syria, Afrika, dan lain-lain. Di Afrika, kepala orang Islam dipijak hingga lumat. Di Syria, orang Islam disembelih hidup-hidup, disiat, dirogol. Apalah sangat sakitnya tangan pakcik ni. Tak luka pun. Dah, jangan marah ya.


Ni nak baiki kasut ya?"


Aku mengangguk perlahan. Sambil serahkan kasutku. Pakcik tu segera menjalankan tugasnya. Tampal dan jahit mana yang patut. Dibersihkan kasutku hingga nampak baru.


"Siap. RM5.00."


Kawanku keluarkan note RM50. Dihulurkan pada pakcik. "Pakcik, ambillah, tak perlu berikan baki." Pakcik tu menolak.


"Walaupun untung pakcik sehari-hari tidak banyak. Tak sampai RM50 pun sehari, tetapi pakcik bersyukur. Yakin yang sikit itulah rezeki Allah yang bersih lagi halal. Makin banyak duit di tangan pakcik, makin gelisah hati pakcik. Lagipun pakcik tak sara sesiapa melainkan diri sendiri.


Ramai orang dapat duit banyak. Dapat duit cara cepat. Dapat duit dari keuntungan modal orang bawahan, downline dan sebagainya. Tapi duit itu segera habis. Duit itu tidak berjaya menenangkan hati. Tidak berjaya melapangkan dada."


Nak tak nak, pakcik tu nak RM5 juga. Taknak RM50. Kami akur.


"Doakan pakcik. Anak-anak ni soleh. Doa orang soleh dimakbul Allah. Doakan pakcik bahagia di alam kubur. Doakan pakcik dikurnia Syurga. Pakcik bimbang, kerana pakcik tidak berdaya segera ke masjid tiap kali masuk waktu solat, selalu terlewat sebab pakcik berjalan dengan tangan. Bimbang Allah marah. Bimbang Allah hukum pakcik sebab lambat ke masjid. Tolong ya."


Pakcik senyum. Namun di matanya berkaca-kaca.


Kawanku peluk pakcik tu erat-erat.


"Insya-Allah pakcik. Amin, amin, amin."


Kami bersalam kemudian mengucapkan selamat tinggal pada pakcik tua.


Dalam perjalanan pulang, aku terasa sungguh ke dalam hati.


Kami dikatakan soleh. Hanya kerana kami pakai kopiah.


Pakcik takut dihukum Allah kerana lambat ke masjid.


Aku langsung tidak ke masjid kecuali solat Jumaat sahaja.


Pakcik sabar. Aku sebaliknya.


Akulah bahan api neraka yang sebenarnya.


Aku.


Tak semena-mena air mata turun sendiri.


Tak mampu ditahan lagi bertakung di empangan.


Kolam air mata ini.

0 comments:

Post a Comment