4 December 2014

Bila Hati Berbicara: Rosyam Nor sedia dikritik

  • Rosyam Nor 
  •  Rosyam Nor
SELEPAS tujuh minggu ditayangkan di TV3 untuk slot Akasia, drama adaptasi novel terbitan Buku Prima, Bila Hati Berbicara karya Antasyah Balkis, semakin mendapat perhatian penonton.

Drama bersiri 32 episod ini diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, diarahkan oleh Amie Maziah dan nukilan skrip oleh Sharifah Abu Salem.

Diterajui pelakon muda iaitu Syafiq Kyle dan Atikah Suhaime, serta dibantu oleh Hafreez Adam, Azwan Kombos dan Raja Ilya, drama ini ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 7 malam sejak 28 Oktober lalu.

Walaupun pada awalnya, lakonan Syafiq dan Atikah menerima kritikan hebat daripada penonton, penerbitnya, Datuk Rosyam Nor berkata, ianya perkara positif untuk drama itu.

Katanya, menyedari keserasian antara kedua-dua bintang muda itu agak kaku mulanya, dia berbangga dengan usaha pengarah drama itu yang banyak membantu perjalanan penggambaran.

"Saya akui mereka masih baru dan banyak kelemahan dari segi lakonan dari awal lagi. Sebagai penerbit, saya membuka peluang kepada bakat baharu untuk menonjolkan kelebihan mereka dalam drama ini," katanya ketika dihubungi Zass.

Jelasnya, selepas beberapa minggu penggambaran dijalankan, chemistry antara mereka semakin baik dan penonton kini turut menerima lakonan mereka.

"Saya sedar isu ini akan dibangkitkan, namun saya yakin dengan kebolehan mereka kerana kedua-duanya adalah pelakon yang berbakat besar," ujarnya.

Bila Hati Berbicara mengisahkan tentang percintaan antara dua insan yang berasal dari latar belakang yang berbeza.

Emir Qasya (Syafiq) seorang pemaju hartanah yang berjaya dan amat mementingkan darjat dan keturunan, manakala Tania Katsura (Atikah) pula seorang gadis biasa yang tinggal di kawasan setinggan dan sentiasa bekerja keras untuk mengejar cita-citanya.

Gandingan menjadi

Biarpun lakonan Syafiq dan Atikah dikritik ramai, berlainan pula pendapat penulis novelnya, Antasya Balkis yang memuji gandingan kedua-dua pelakon tersebut.
Baginya, pemilihan muka baharu adalah tepat seperti yang digambarkan menerusi novelnya itu.

Katanya, Atikah berjaya menghidupkan watak Tania Katsura yang perwatakan manis dan comel dengan baik.

Begitu juga dengan Syafiq, Antasya teruja dengan lakonan jejaka itu yang mampu menjiwai karakter playboy Emir kepada lelaki yang lebih beremosi selepas bertemu dengan Tania.

Dalam masa yang sama, dia turut berkongsi rasa bertuah apabila karyanya itu terpilih untuk diadaptasi ke drama.

"Sudah bertahun novel ini diterbitkan dan apabila ia ditawarkan ke skrin TV, saya gembira dengan tawaran daripada pihak stesen TV," ujarnya.

Berpuas hati dengan hasil drama adaptasi tersebut, Antasya mengharapkan drama itu mampu beri impak baik kepada penonton.

0 comments:

Post a Comment