30 September 2014

Bakal tunang maut kemalangan

  • Anggota penyelamat mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian.  dinaiki mangsa. Anggota penyelamat mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian. dinaiki mangsa.
< 1 / 1 >

KRUBONG - Seorang wanita yang baru selesai membeli tudung untuk dipakai pada majlis pertunangannya Ahad ini, maut dalam kemalangan di Lebuh Sungai Udang - Paya Rumput - Ayer Keroh (SPA), di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang, mangsa, Nur Syazwani Salleh, 19, yang membonceng motosikal jenis Yamaha 125Z ditunggangi bakal tunangnya, Muhammad Faiz Isa, 19, maut apabila kenderaan dinaiki mereka itu bergesel dengan sebuah lori.

Ibu Nur Syazwani, Zarina Mohamed, 43, berkata, kali terakhir dia melihat anaknya itu kira-kira 11 pagi kelmarin di rumah mereka di Paya Rumput, Sungai Udang, di sini.

“Arwah yang dipanggil dengan gelaran Kakak itu ada memberitahu mahu keluar membeli tudung selepas menghantar adiknya (Muhamad Syafiq, 14) untuk berniaga apam balik di sebuah pasar raya berdekatan rumah.

“Kira-kira jam 6 petang Syafiq balik ke rumah berjalan kaki disebabkan tidak dapat hubungi kakaknya yang turut menjual apam balik di pasar malam,” katanya.

Menurutnya, dia cuba menghubungi telefon bimbit Nur Syazwani yang kemudian dijawab rakannya, lalu memaklumkan mengenai nahas menimpa anaknya itu.

“Saya sangka Wani punya suara, tapi saya terkejut apabila perempuan dalam telefon bimbit itu mengatakan Wani terlibat kemalangan dan dia sudah tiada," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, semalam.

Berikutan itu, katanya, dia bergegas pergi ke hospital bersama suami, Salleh Dollah, 47.

“Arwah sepatutnya akan bertunang pada Hari Raya Aidiladha Ahad ini. Tapi, nampaknya bukan sahaja majlis batal, tudung dibeli pun tidak sempat dipakai,” katanya sedih. Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Bakar berkata, kedua-dua pasangan terbabit menaiki motosikal dari arah Ayer Keroh menghala Sungai Udang sebelum bergesel dengan lori dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang cuba membelok ke kiri menghala ke Kawasan Perindustrian Krubong.

“Bagaimapun, pemandu lori itu menghimpit motosikal datang dari arah sama yang ditunggang di laluan sebelah kiri menyebabkan berlaku pergeseran lalu kedua-dua mangsa terjatuh,” katanya di sini, semalam.

Menurut Razali, sebaik sahaja jatuh ke atas jalan, mangsa yang membonceng digilis tayar belakang kiri lori yang membawa muatan jengkaut menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang motosikal yang cedera parah di kaki termasuk patah kaki kanan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Mayat pula dibedah siasat bagi membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

0 comments:

Post a Comment