30 September 2014

Nelayan tembak polis ke tali gantung


Eng Tiong (kanan) kelihatan tenang selepas keluar daripada Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam.
< 1 / 1 >


IPOH - Seorang nelayan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam atas kesalahan melepaskan tembakan ke arah polis ketika cuba ditahan di Kampung Baru, Kuala Sepetang, kira-kira lapan tahun lalu.

Lim Eng Tiong , 49, turut dihukum penjara sepanjang hayat kerana telah menunjukkan senjata api ketika melakukan rompakan di kawasan yang sama.

Dia juga dijatuhi hukuman tujuh dan lima tahun penjara atas dua pertuduhan lain atas kesalahan memiliki senjata api, beberapa butir peluru hidup dan kelongsong peluru.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Che Mohd Ruziman Ghazali turut memerintahkan supaya tertuduh diberikan enam sebatan atas kesalahan memiliki senjata api.

Che Mohd Ruziman dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas empat tuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Beliau juga mendapati keterangan yang diberikan pihak pembelaan berbentuk penafian semata-mata.

Bagi pertuduhan pertama, Eng Tiong dijatuhi hukuman mandatori gantung sampai mati kerana menghalang daripada ditahan polis dengan melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kecederaan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan kerana memiliki senjata api jenis Revolver dan pertuduhan ketiga penjara lima tahun kerana memiliki enam butir peluru dan lima kelongsong peluru.

Bagi pertuduhan terakhir, Eng Tiong dikenakan hukuman sepanjang hayat kerana telah menunjukkan senjata api dengan cara mendatangkan ketakutan mati atau cedera terhadap Beh Eng Hock.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Baru, Kuala Sepetang antara jam 10 hingga 10.45 malam pada 12 Januari 2006.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan keempat dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3, 8 dan 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 manakala untuk pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala Eng Tiong diwakili peguam bela, Yunus Ali.

Pada 2012, Mahkamah Tinggi Taiping membuat keputusan ke atas kes itu setelah pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Berikutan itu, pihak pendakwaan memfailkan kes ke Mahkamah Rayuan yang kemudiannya memanggil tertuduh untuk membela diri ke atas keempat-empat pertuduhan.

0 comments:

Post a Comment