29 September 2014

Mangsa tersedar bunyi jeritan

  • Naib Canselor Usim, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad (dua, kanan) ketika melawat pelajar yang menerima rawatan di Hospital Selayang, semalam. Naib Canselor Usim, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad (dua, kanan) ketika melawat pelajar yang menerima rawatan di Hospital Selayang, semalam.
1 / 3
SELAYANG - “Saya dengar jeritan dan rasa terhuyung-hayang sebelum sakit di kepala kerana terhentak,” cerita salah seorang penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Hanis Syahirah Mohd Zulkifli, 21, yang terlibat dalam kejadian bas terbabas dekat Jalan Sg Tua-Ulu Yam kelmarin.

Dia yang duduk di bahagian belakang bagaimanapun tidak pasti situasi sebenar kejadian.

“Saya hanya nampak bas sudah senget  ke kanan, keadaan di dalamnya kelam kabut.

“Tak lama selepas itu beberapa orang awam bantu keluarkan kami guna pintu kecemasan,” katanya yang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang.

Semalam, Sinar Harian melaporkan insiden sebuah bas membawa 26 penuntut Usim termasuk dua pemandu dalam perjalanan pulang ke Nilai terbabas selepas menghadiri bengkel di Ulu Yam.

ARTIKEL BERKAITAN: [ Nahas: Pelajar Usim dirawat di Hospital Selayang ]

Seramai lima daripadanya termasuk dua pemandu bas ditahan di Hospital Selayang dan 18 lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar serta dibenarkan pulang.

Manakala empat lagi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Seorang lagi penuntut, Iqmal Hisham Kamarudin, 23, berkata, dia turut terlibat dalam bengkel berkenaan namun menaiki bas berasingan.

“Bila dapat tau kejadian itu kami patah balik ke lokasi kejadian untuk berikan bantuan. Jarak kedua-dua bas hanya beberapa meter jadi kami dapat hantar mereka yang cedera teruk ke hospital,” katanya.

Sementara itu di Seremban, Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik Usim, Mohd Zaini Othman berkata, semua penuntut dan pemandu bas dalam keadaan stabil.

“Kita  sedih dan dukacita dengan kejadian itu selepas mereka mengikuti Kursus Pengurusan Kelab Debat di Rimba Kalong Eco Resort, Ulu Yam,” katanya.

Menurutnya, pihak pentadbiran Usim telah mengambil tindakan penyelarasan dengan pelbagai jabatan berkaitan seperti Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Unit Kesihatan Pelajar untuk memastikan kebajikan penuntut yang terlibat diberi perhatian.

Katanya, pihak universiti telah berhubung dengan ibu bapa penuntut terlibat bagi memastikan mereka mendapat maklumat terkini mengenai anak masing-masing.

“Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Datuk Dr Mohamed Asin Dollah dan Pendaftar Universiti, Muhammad Haizuan Rozali mewakili pihak pengurusan universiti bersama 30 pegawai universiti dan wakil pelajar berada di hospital malam semalam (kelmarin) bagi membantu dan memberi sokongan kepada mangsa dan keluarga,” katanya.

Pihaknya juga menyediakan pegawai perubatan Usim untuk rawatan lanjut kepada penuntut yang dibenarkan pulang ke kampus bagi memastikan mereka sihat.

“Kami bersyukur kerana pelajar yang terlibat itu selamat. Usim mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan hospital, bomba dan polis serta pihak yang membantu.

“Usim serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat punca kemalangan dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak universiti setelah siasatan polis selesai,” katanya

0 comments:

Post a Comment