28 September 2014

Loklik: Dari lebihan nasi jadi kuih enak

  • Fatimah menunjukkan kuih loklik yang dijual di kedainya. Fatimah menunjukkan kuih loklik yang dijual di kedainya.
1 / 1
KUALA BERANG - Lazimnya, ramai di antara kita gemar membuat nasi goreng sekiranya ada nasi yang tidak habis dimakan di rumah atau lebih dikenali di sini sebagai nasi dingin.

Mungkin ramai tidak tahu, nasi dingin juga sebenarnya boleh dijadikan kuih loklik iaitu sejenis kuih tradisional Terengganu.

Bentuk dan rupanya boleh dikatakan kurang menarik, tetapi rasanya yang sedikit manis dan berlemak menjadikan loklik antara kuih yang sering menjadi pilihan penduduk di negeri ini.

Berkongsi cerita dan resipi loklik, peniaga kuih tradisional di Kuala Berang, Fatimah@Anang Ayob, 77, berkata, masa diambil menyediakan kuih tersebut antara 30 hingga 45 minit dan tempoh itu tidak termasuk proses bagi menggentel doh.

“Secara keseluruhan, kalau diikutkan ia ambil masa beberapa hari kerana nasi dingin itu perlu dijemur sehingga kering (nasi kering) terlebih dahulu lalu digoreng tanpa minyak sebelum ditumbuk.

“Tapi sekarang ini kita hanya guna mesin pengisar. Malah, sebagai salah satu pilihan, nasi kering itu juga boleh dikeringkan guna oven tanpa perlu lagi menjemurnya di bawah matahari, tetapi rasanya nanti berbeza,” katanya.

Fatimah berkata, dia lebih gemar menggunakan cara tradisional dalam menyediakan kuih tersebut.

“Seeloknya, debu nasi kering ini disimpan dalam peti ais terlebih dahulu sebelum dimasak dan jika sukakan rasa lebih lemak, kita masukkan banyak kelapa muda. Namun, ia terpulang kerana cita rasa orang tak sama.

“Sekiranya adunan doh terlalu lembik, kita hanya perlu masukkan debu nasi kering. Seeloknya, kuih loklik digentel jangan terlalu besar saiznya kerana nanti tak cantik,” katanya.

Kata nenek enam cucu yang sudah hampir 50 tahun berniaga kuih-muih tradisi ini, kuih loklik ini secara tidak langsung dapat mengelakkan pembaziran nasi yang tidak habis dimakan.

0 comments:

Post a Comment