30 September 2014

Buat 10 pusingan elak sekatan polis


Tertuduh keluar dari mahkamah sambil diirigi anggota trafik selepas keputusan dibuat.
< 1 / 1 >


KOTA BHARU - Pengajaran buat seorang penjual pasar malam kerana memandu dengan cara membuat pusingan berhampiran satu sekatan jalan raya, dia diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Perintah dikeluarkan Majistret, Nik Habri Muhamad selepas bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Muhammad Hamizan Rosli, 21, dari Peringat, didakwa membuat pusingan sebanyak 10 kali dalam jarak dekat kira-kira sekilometer daripada satu sekatan polis di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh-Kuala Terengganu, pada jam 3 pagi, 11 Julai lalu.

Ketika itu, sepasukan anggota trafik sedang menjalankan tugas Ops Cantas Khas Trafik di Peringat-Pasir Tumbuh. Pada jam 3 pagi, sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu tertuduh melalui sekatan jalan raya ke arah Peringat.

Apabila ditahan, tertuduh memecut laju kenderaan menghala ke Pasir Tumboh. Apabila menghampiri sekatan menghala ke Pasir Tumboh, tertuduh berpatah balik ke Peringat. Anggota diarah mengekori tertuduh dan tertuduh terus memandu secara berbahaya.

Oleh sebab dia tidak dapat melepasi sekatan jalan raya, tertuduh memandu secara membuat pusingan sebanyak 10 kali selain turut melanggar besi penghadang jalan dan pembahagi jalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan polis.

Pendakwaan terhadap tertuduh dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Dalam keputusan itu, Nik Habri berkata, beliau mahu memberi peluang kepada tertuduh supaya mengubah sikap ke arah yang lebih baik serta lebih menghormati undang-undang jalan raya.

“Perintah menjalani khidmat masyarakat ini nampak ringan daripada hukuman penjara, namun memakan masa yang lama kepada pesalah untuk menyempurnakan kerja-kerja dalam tempoh yang diputuskan.

“Ada yang memakan masa sehingga dua tahun dan jika ingkar mereka boleh dihukum penjara. Saya cadang JKM memberi lokasi seperti tanah perkuburan kepada tertuduh supaya tertuduh lebih takut dan mengambil pengajaran daripada kesalahannya itu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment