22 October 2014

AF2014: Adel Tersingkir, Ramai Tak Puas Hati

Oleh Norbee Ghani.

Lagi pelajar AF2014, yang layak dilihat di dalam final Akademi Fantasia tahun ini berkubur, setelah Adel diumumkan tersingkir di minggu ke-7, Ahad lalu. Ramai yang tak berpuas hati, dan rata-rata menyalahkan undian dan juga rancangan realiti yang popular ini kerana mengeluarkan seorang pelajar yang dari minggu ke minggu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Adel Joyce Masidah, tersingkir di minggu tema klasik iaitu Remy & Sally dengan lagu tugasannya Jelingan Manja, nyanyian Allahyarham Saloma dan nampaknya itulah jelingan terakhir Adel di dalam AF. Penyingkiran pelajar yang berasal dari Sabah ini jelas menjadi kejutan, kerana Adel sebelum ini sering mendapat pujian juri setiap kali persembahannya. Kalau dapat dilihat, rata-rata tenaga pengajar sebak dan sedih termasuk Zizan Razak yang dilihat menitiskan airmata sebaik saja mengumumkan nama Adel pada malam itu. Pengetua, Dato’ Hatan juga berpendapat, antara yang menyumbangkan kepada undian terendah Adel adalah komen Dato’ Ramli MS yang dikatakan sedikit sebanyak menyumbangkan kemerosotan kepada undian Adel.

Walaubagaimanapun, Dato’ Hatan tidak menolak sekiranya ada AFMASUK di minggu akan datang, kerana baginya Adel adalah bintang yang baru menyinar, cuma perjalananannya dihalang oleh 100% undian pengundi luar. Dengan penyingkiran Adel, meninggalkan 7 lagi pelajar iaitu Nina, Nuha, Aman, Firman, Zarif, Ewal dan Azwan untuk mara ke peringkat seterusnya. Dan minggu depan juga adalah minggu paling mencabar buat mereka.

Antara yang menarik di minggu Remy & Sally ini, apabila perjalanan persembahan sarat dengan eleman kejutan. Pelajar dikehendaki melakonkan sedikit babak yang dipetik dari filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan selain itu, pelakon cilik seperti, Wafy dan Puteri Balqis, juga pelakon tambahan profesional Musli Ramli, Que Haidar dan Raja Azura yang juga selaku juri tetap AF2014, begitu sporting, membantu menaikkan lagi mutu persembahan pelajar pada malam itu. Selain itu persembahan lain yang dihiburkan oleh Musli Ramli, Nurul, Zain & Arif (Kilauan Emas 4) serta The Lomas berjaya memikat hati penonton.

Rata-rata yang menonton persembahan Konsert AF minggu bertemakan klasik ini sangat berpuas hati dengan hiburan yang diberikan selain lagu tugasan pelajar yang dikatakan menghiburkan penonton di auditorium dan juga di rumah.

Apakah tema Konsert ke-8 pada minggu ini? Dan apa lagi kejutan yang bakal dipersembahkan? Jangan lupa, tonton Diari Akademi Fantasia bagi mengetahui tema dan perkembangan terbaru pelajar setiap hari bermula jam 9 malam, dan Konsert Akademi Fantasia pada hujung minggu ini, 9 malam di Astro Ria dan Maya HD.

0 comments:

Post a Comment