15 October 2014

Search Akan Beraksi Di Istana Budaya

Oleh Ina Mohd.

Masa yang dinantikan telah tiba, Search Live in Istana Budaya 2014 akan menemui peminat pada 4 sehingga 7 Disember. Kali terakhir mengadakan konsert pada tiga tahun lalu, peminat sentiasa menantikan buah tangan terbaru dari Search. Dianggotai oleh Amy, Yazid, Nasir, Kid dan Nordin mereka menjanjikan suatu kelainan dalam konsert itu nanti.

Semestinya lagu-lagu hits Search akan bergema di Istana Budaya. "Sekarang kami fokuskan kepada perancangan untuk konsert ini nanti. Dari segala aspek terutama lagu dan konsep yang bakal kami ketengahkan. Paling utama ialah muzik Search itu sendiri. Penyanyi jemputan atau sebagainya kami belum berbincang. Apa yang boleh kami katakan, kami tidak akan persembahkan apa yang orang telah buat. Ada kejutan menanti anda", kata Nasir.

Bagi Amy selaku vokalis, beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk beraksi di pentas yang berprestij ini. "Kami rasa bersyukur dan berterima kasih kerana diberi kesempatan untuk membuat persembahan di Istana Budaya. Ramai yang bertanya bila Search akan beraksi dan sebagainya. Pada kami, no hurry. Dengan masa yang tepat, dengan keizinannya, saat yang dinantikan telah pun tiba", kata Amy yang bakal mempersembahkan lebih kurang 20 buah lagu.

Cabaran bagi menjayakan konsert ini adalah apabila perlu memilih dan juga mengabungkan kisah Search yang telah berada di dalam industri lebih daripada 30 tahun, kepada penonton untuk dua jam berlangsungnya konsert ini. Namun konsert tersebut pastinya mengabungkan muzik rock and roll dan slow rock yang memang sinonim dengan Search.

Beralih cerita mengenai salah seorang ahli kumpulan Search, Yazid yang mana umum mengetahui beliau menghadapi masalah kesihatan, ia bukan suatu masalah bagi Search. Yazid sendiri memberi persetujuan untuk beraksi bersama namun pihak penganjur dan Search sendiri akan menyediakan backup bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Menurut Urban Creative Synergy (UCS) Sdn Bhd, selaku penganjur, sebahagian daripada kutipan jualan tiket konsert akan disalurkan ke Tabung Gaza dan turut memberi sumbangan kepada Yazid. Tiket-tiket berharga RM109, RM209, RM309, RM409 dan RM799 akan mula dijual dalam masa terdekat secara atas talian di www.ticketpro.com.my .

0 comments:

Post a Comment