8 October 2014

‘MUKA CARI MAKAN’ DISELAR LAWAK KE LAUT?


Jika sebelum ini, kumpulan ‘Kami Tuan Rumah’ berjaya mengekalkan kedudukan di carta utama kumpulan A, pola serupa juga boleh dilihat di dalam kumpulan B apabila kumpulan ‘Muka Cari Makan’ sekali lagi mengungguli carta liga.

Corak kemenangan dan pemarkahan sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dilihat kedua-dua kumpulan ini memiliki kelebihan mata bersandarkan undian SMS berbanding pertimbangan markah yang diberikan juri profesional.





Ternyata pelbagai faktor harus di ambil kira kerana lawak merupakan sesuatu yang subjektif dan setiap peserta memiliki kualiti dan peminat masing-masing.

Disebalik pesona peserta ‘senior’, Uncle Jo, 52 tahun yang seringkali membuat para penonton tercuit hati dengan gelagatnya, beliau tetap menerima kritikan daripada juri. Antara punca teguran tersebut adalah kegagalan memahami situasi sketsa yang diberikan hingga disifatkan lawak ke laut.



Memberi pandangan telus, Ellie Suriati selaku juri undangan malam itu berharap Uncle Jo menerima pandangannya secara positif bagi mempertingkatkan lagi mutu persembahan kumpulan itu yang turut dianggotai Naz Rahman dan Pian (Kepoh). Selain Ellie, Cat Farish turut menyertai barisan panel juri menggantikan Erma Fatima buat seketika di samping juri tetap Khir Rahman.

Khir Rahman juga pernah memberikan ulasan hangat dalam persembahan episod empat sebelum ini. “Walaupun rancangan ini bertujuan untuk menghiburkan tetapi para peserta harus ambil serius apabila sudah berada di gelanggang. Ini merupakan persembahan mereka yang kedua sepatutnya lebih fokus dan bertenaga. Malah orang awam dan artis pun tidak dilihat berbeza,” komen Khir.



Minggu ini Khir menyatakan bahawa kumpulan yang mempunya gandingan yang baik adalah ‘Melodrama’ (Zulin Aziz, Izu Kepoh dan Ain) dan ‘Ohsem’ (One Sofazr, Ammar Titan dan Danial Hasif). Walaubagaimanapun, Khir tetap mengakui bahawa Uncle Jo dari kumpulan ‘Muka Cari Makan’ memang mempunyai personaliti yang mudah disukai.

Kumpulan tercorot malam itu adalah kumpulan ‘Boomerang’ yang diwakili Leez Rosli, Zack Ooooo, dan Arfan. Namun Leez berjaya membuktikan keberanian dalam bidang kepakarannya iaitu nyanyian menerusi permainan Karaoke Uncle Spa. Permainan itu memerlukannya untuk merendam kaki di bekas berisi katak, belut dan usus lembu ditaburi cacing sambil menyanyi ternyata mendapat pujian juri. Antara sketsa lain yang harus dijayakan kumpulan B pada malam itu adalah sketsa mendahi, bilik soal siasat, ‘pentiru’ besar dan sketsa ayat awal dan akhir.

Minggu hadapan bakal memberikan peluang untuk kumpulan A membuktikan keupayaan mereka kerana Liga Lawak Superstar musim 2 bakal memulakan sesi penyingkiran untuk persediaan pusingan separuh akhir.







0 comments:

Post a Comment