15 October 2014

Chacha sibuk urus perkahwinan kakak

  • Chacha Maembong 
  •  Chacha Maembong
< 1 / 1 >


SUDAH pastinya peminat tertunggu-tunggu bilakah hubungan pasangan selebriti, Zizan Razak dan Emma Maembong akan ke jinjang pelamin, sementelahan lagi khabarnya pasangan ini sudah pun menjalani sesi fotografi pra perkahwinan ketika sama-sama terbang ke Jepun, baru-baru ini.

Berita itu sekali gus menguatkan andaian yang pasangan sama cantik sama padan itu bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi.

Menguatkan lagi andaian tersebut, adik kepada Emma, Chacha Maembong turut mengakui yang dia kini sedang sibuk menguruskan perkahwinan kakaknya.

Begitu pun, jangan salah sangka kerana yang ingin berkahwin dalam masa terdekat bukanlah Emma, sebaliknya kakak mereka, Yaya Maembong. Yaya bakal melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya yang juga pelakon drama bersiri Jiwa, Wan Raja atau nama sebenarnya, Saiful Redzuan A Bakar, pada November ini.

"Saya dan adik-beradik lain kini sibuk menguruskan persiapan kahwin Yaya. Insya-ALLAH,

"Yaya bakal menamatkan zaman bujangnya pada November ini," katanya pada Zass ketika ditemui di majlis pratonton telefilem, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya.

Mengenai soal Emma pula, pelakon Playboy Itu Suami Aku ini mengakui dia sendiri tidak tahu tarikh sebenar bilakah pasangan itu akan menamatkan zaman bujang mereka.

"Ramai yang bertanya kepada saya adakah Emma akan berkahwin dalam masa terdekat. Saya sendiri tidak tahu tarikhnya.

"Apa yang pasti, Emma tidak akan berkahwin dalam masa terdekat. Apa yang saya tahu adalah kemungkinan Emma akan berkahwin dengan Zizan tahun depan saja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Chacha bakal muncul dalam telefilem Rombongan Cik Kiah ke Kelana Jaya arahan Mamat Khalid yang akan menemui penonton di saluran Astro First Eksklusif mulai 23 Oktober ini.

Mengakui seronok dapat bekerja di bawah arahan Mamat, pelakon drama Mimpi Cinderella ini memberitahu cabaran besar yang perlu dihadapinya adalah apabila dia perlu bertutur dalam loghat Perak.

"Sejujurnya, sukar untuk saya bertutur dalam loghat Perak. Itu merupakan cabaran saya dalam telefilem ini.

"Saya telah mencuba sehabis baik dan saya harap penonton terhibur menyaksikan lakonan saya dalam cerita ini," katanya.

0 comments:

Post a Comment