7 October 2014

Tiara Jacquelina kembali dengan Norizan

 
Datin Seri Tiara Jacquelina pada majlis sidang media DRB Hicom penjadi penaja teater P.Ramlee The Musical di Glenmarie Golf and Country Club. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Setiap kali muncul di pentas teater, tidak kira berfungsi sebagai penerbit atau pelakon, kelibat Datin Seri Tiara Jacquelina pasti antara yang ditunggu-tunggu.

Terbaru beliau memegang watak Norizan menerusi teater muzikal P Ramlee.

Selepas dua musim dipentaskan teater berkenaan dipentaskan semula di Panggung Sari, Istana Budaya sejak 3 hingga 13 Oktober ini dengan menampilkan wajah baru. Selain Tiara, ia turut dibintangi Lisa Surihani, Nadia Aqilah Bajuri dan Tony Eusoff.


Berbeza dengan teater terdahulu yang diterbitkan Enfiniti Vision Media Sdn Bhd, seperti Puteri Gunung Ledang dan The Secret Life Of Nora, komitmen yang dipegang Tiara tidak membabitkan babak yang banyak tetapi cukup bermakna buat empunya diri.

"Kalau dulu untuk teater Nora Zain dan Puteri Gunung Ledang (PGL), pembabitan saya di atas pentas dalam 90 peratus. Tapi menerusi teater P Ramlee ini biarpun hanya lima babak, saya sukakan karakter Norizan. Impaknya cukup besar buat saya.

"Setidak-tidaknya, saya boleh fokus kerja belakang tabir sebagai penerbit. Dulu masa PGL dan Nora, pening juga jadinya. Saya tak pernah bawa watak wanita garang seperti Norizan dan ia ternyata lain dari personaliti diri," katanya.

Selepas beberapa hari dipentaskan, ulasan yang kedengaran daripada mereka yang sudah menonton cukup positif. Tiara sendiri menarik nafas lega biarpun pada awalnya tidak tahu apa yang mampu dijangkakan menerusi penerimaan penonton.

"Saya rasa mereka yang datang menonton cukup menikmati teater ini dengan puas. Wajah baru yang diperkenalkan untuk teater ini juga dilihat segar. Saya juga dapat rasa penerimaan penonton terhadap Tony yang memegang watak P Ramlee juga sangat positif.

"Lisa sendiri sebagai Junaidah juga pasti mengejutkan ramai yang jarang melihat dia menari dan menyanyi. Paling saya tak jangka ialah Nadia sendiri untuk watak Saloma. Dia bakal bintang yang akan terus menyinar. Insya-Allah.

"Sebelum teater bermula, saya sendiri tak mampu mengagak bagaimana hebat Nadia di atas pentas. Tapi pilihan saya untuk watak Saloma tak sia-sia. Sejak bekerja dengan saya untuk PGL lagi saya sudah nampak potensi dia," katanya.

Mengenai teater P Ramlee ini, Tiara memberitahu pihaknya memang ada ura-ura untuk mementaskannya secara jelajah di beberapa tempat.

"Sejak PGL lagi memang ada hasrat nak pentaskan ia secara jelajah tetapi ada kekangan yang menghalang kerana beberapa bahagian termasuk props serta kemudahan terikat di Istana Budaya. Tapi untuk teater P Ramlee kali ini kita tidak banyak menggunakan set yang berat.

"Kita banyak menggunakan ruang teater yang asas. Kalau dulu 30 orang diperlukan untuk menolak set kereta api yang dibina tapi sekarang dalam lapan orang pun sudah memadai. Jadi ia lebih efisien. Insya-Allah ada rezeki memang nak pentaskan secara jelajah," katanya.

Teater ini akan dipentaskan sehingga 13 Oktober depan di Panggung Sari Istana Budaya. Untuk tempahan tiket dan info lanjut boleh layari www.tickethotline.com.my atau www.facebook.com/PRamleeMusical. Harga tiket bermula dari RM33 turut boleh didapati di kaunter IB atau secara online di www.ticket2u.biz.

PUAN Seri Tiara Jacquelina pada Teater Muzikal P.Ramlee di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

PELAKON (dari kiri), Puan Sri Tiara Jacquelina, Tony Eusoff, Nadia Aqilah dan Lisa Surihani pada Teater Muzikal P.Ramlee di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

0 comments:

Post a Comment